11 Februari 2021 – Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengajak rakyat negara ini bersatu padu, tanpa mengira bangsa atau agama untuk melangkah ke hadapan secara bersatu, sebagai sebuah negara.
“Marilah kita terus kekalkan semangat cekal yang kita kongsi bersama sebagai tonggak kekuatan kita ketika menempuhi pandemik Covid-19 ini.
Khasnya pada masa kini, ia ternyata amat penting bagi kita untuk bersatu padu, tanpa mengira bangsa atau agama untuk melangkah ke hadapan secara bersatu, sebagai sebuah negara. Kita harus melakukannya demi diri sendiri, anak-anak dan tanahair tercinta.” kata beliau melalui satu kenyataan media sempena Sambutan Tahun Baru Cina semalam.
Halimah turut mengingatkan supaya rakyat sentiasa berwaspada dalam perjuangan bersama bagi mengatasi Covid-19.
“Walaupun kita berhadapan dengan cabaran pandemik ini, saya menggesa rakyat Malaysia yang menyambut Tahun Baru Cina untuk memanfaatkan teknologi sedia ada, jika berkesempatan, untuk berhubung dengan keluarga dan sahabat handai. Terutamanya kini, ikatan kekeluargaan harus terus dipupuk dan diperkukuhkan.” katanya.
Halimah turut berkata bahawa Tahun Baru Cina yang disambut kali ini sinonim dengan ciri-ciri ketekunan, kesabaran dan ketabahan yang boleh diambil sebagai inspirasi.
“Marilah kita terus kekalkan semangat cekal yang kita kongsi bersama sebagai tonggak kekuatan kita ketika menempuhi pandemik Covid-19 ini.
Semoga Tahun Baru Cina ini membawa hari yang mendatang yang lebih cerah dan kesihatan yang lebih baik kepada semua.” ujarnya.
Leave a comment