AMEkonomi @ My LNANiaga @ My LNA

MEDAC tubuhkan MPKN, platform perhubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perkasakan ekosistem keusahawanan

93

KUALA LUMPUR 9 Februari 2021 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah mengambil inisiatif menubuhkan Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) bagi memacu pertumbuhan pesat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana. MPKN merupakan platform perhubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan di Peringkat Persekutuan dan Negeri.

MEDAC juga yakin penubuhan Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) akan menjadi pemangkin kepada pencapaian aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Keusahawanan Unggul menjelang tahun 2030.

“Antara peranan dan tanggungjawab MPKN adalah menyelaraskan dasar dan halaju pembangunan keusahawanan, menetapkan skop kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta memperakukan langkah-langkah dan inisiatif strategik bagi menangani isu, cabaran dan halangan yang dihadapi oleh usahawan di pelbagai peringkat secara holistik dan bersepadu.

Mesyuarat MPKN Bilangan 1 Tahun 2021 yang julung-julung kali diadakan secara virtual pada 9 Februari 2021 telah dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato Sri Dr. Hj. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dengan kehadiran Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco yang bertanggungjawab ke atas pembangunan keusahawanan dan Ketua Jabatan agensi pembangunan ekonomi/keusahawanan negeri.

Keanggotaan MPKN turut merangkumi Menteri dan Setiausaha Tetap Kementerian yang bertanggungjawab ke atas pembangunan keusahawanan bagi negeri Sabah dan Sarawak serta Kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan agensi berkenaan” kata MEDAC melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mesyuarat MPKN tersebut telah membincangkan kerjasama strategik yang akan dibentuk di antara MEDAC dan Perbadanan Kemajuan
Negeri Kedah dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis mengenai program-program peningkatan dan pembangunan usahawan dan PKS di kedua-dua buah negeri.

“Selain itu, MEDAC akan turut mengkaji kaedah dan inisiatif yang dapat membantu usahawan di Sabah dan Sarawak, khususnya yang berada di kawasan pedalaman, dalam mempelbagaikan produk dan perkhidmatan, menyediakan infrastruktur, meningkatkan produktiviti pengeluaran dan memperluaskan pasaran produk PKS dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.” kata MEDAC.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Dr. Hj. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penubuhan MPKN amat bertepatan mengambil kira situasi semasa negara dalam memulihkan semula ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“MPKN merupakan platform terbaik untuk MEDAC membentuk kerjasama kolektif dengan semua pihak berkepentingan agar pelaksanaan strategi dan inisiatif yang digariskan dapat melahirkan usahawan tempatan yang kompetitif dan berjaya dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.

Disamping itu, platform MPKN juga akan digunakan oleh MEDAC untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan dan situasi sebenar usahawan di peringkat akar umbi termasuk maklumat dan data mengenai usahawan informal yang berjumlah lebih 1 juta pada ketika ini. Dengan maklumat dan data yang diperolehi akan membantu MEDAC untuk membuat perancangan dan intervensi yang bertepatan dengan keperluan sebenar usahawan di samping memastikan tiada pertindihan bantuan di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, seterusnya menggalakkan pengoptimuman sumber dan perbelanjaan berhemah”, jelas beliau.

Dr. Wan Junaidi turut mengumumkan pada tahun 2021, MEDAC melalui pendekatan 5E iaitu Enculture, Enable. Empower, Energise dan Engage akan melaksanakan pelbagai program dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.5 billion yang akan memberi manfaat kepada usahawan dan bakal usahawan di pelbagai peringkat dan latarbelakang.

Ianya merangkumi program pembiayaan, diskaun sewaan, program pembangunan kapasiti dan latihan, pendigitalan dan adaptasi teknologi, akses kepada pasaran serta moratorium dan bantuan bersasar bagi membantu usahawan mengadaptasi norma baharu perniagaan susulan pandemik COVID-19.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAKewangan @ My LNAUTAMA

Pelabur tunjuk minat tinggi untuk fahami asas dan potensi ekonomi Malaysia

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mengetuai delegasi...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Suci Aidilfiri bukan untuk dicemari

Oleh: Dr. Sharifah Basirah Syed Muhsin Hari Raya Aidilfitri merupakan hari yang...

Biz @ My LNABM @ MY LNANiaga @ My LNA

SCIB dan Awana Tandatangani Perjanjian Baru, Menjamin Kontrak Eksklusif untuk Projek PPAM Mualim

KUCHING, SARAWAK, 15 APRIL 2024 – Pakar sistem bangunan perindustrian, Sarawak Consolidated...

AMBM @ MY LNAKesihatan @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Raikan Syawal sebagai ibu bapa prihatin, demi senyuman mereka

Oleh: Prof Madya Dr Lily Azura Shoaib, Dr Noorhidayah Zainal Aalam Sambutan...