Alam Sekitar SEMASA

Malaysia telah daftarkan 7 kawasan sebagai Tapak Ramsar

2 Februari 2021 – Tema sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia pada tahun ini adalah “Wetlands and Water” atau “Tanah Lembap dan Air”, di mana tema ini mengetengahkan sumbangan tanah lembap terhadap kuantiti dan kualiti air bersih. Di Malaysia, tanah lembap meliputi kawasan-kawasan tanah gambut, paya bakau, sungai, tasik dan pesisiran pantai yang menjadi habitat kepada kepelbagaian spesies flora dan fauna terutamanya burung air yang bermigrasi.

“Tanah lembap mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi, sama ada dari segi nilai ekonomi dalam bentuk hasil hutan, laut dan pelancongan mahu pun faedah perkhidmatan ekosistem seperti perlindungan daripada bencana (tsunami), kawasan tadahan air, kawasan pembiakan, kawalan banjir dan carbon sink. 40% daripada spesies seluruh dunia tinggal dan membiak di kawasan tanah lembap dan lebih 200 jenis ikan baru ditemui setiap tahun di tanah lembap darat (freshwater wetlands).

Sehingga hari ini, Malaysia telah mendaftarkan tujuh (7) kawasan sebagai Tapak Ramsar, iaitu di Tasek Bera, Pahang; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai, Johor; Kuching Wetland National Park, Sarawak; Lower Kinabatangan – Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands, Sabah.

Tapak-tapak ini dilindungi di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman negeri atau kawasan perlindungan tanah lembap” kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah melalui satu kenyataan media sempena Hari Tanah Lembap Sedunia 2021 yang diedarkan hari ini.

Namun kawasan tanah lembap yang dilindungi hanyalah sebahagian kecil daripada keluasan tanah lembap yang telah direkodkan di mana terdapat kawasan tanah lembap yang tidak mempunyai mekanisme perlindungan yang khusus.

“Dalam hal ini, saya menyeru sokongan dan kerjasama Kerajaan-Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, pihak swasta, NGO dan masyarakat umum bagi memastikan inisiatif dan program berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan tanah lembap dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Melalui Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang baru dilancarkan, semua pihak dapat turut memberikan fokus dan terlibat untuk mengaya dan merestorasi kawasan tanah lembap yang berada di sekeliling kita” kata beliau.

Dr. Shamsul Anuar turut berharap agar sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia pada tahun ini dapat mengingatkan kita tentang kepentingan memelihara tanah lembap yang merupakan khazanah yang sangat berharga demi kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang.

Hari ini merupakan ulang tahun ke-50 penubuhan Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atau lebih dikenali sebagai Konvensyen Ramsar yang merupakan perjanjian antarabangsa yang telah ditandatangani di bandar Ramsar, Iran pada 2 Februari 1971 di antara kerajaan-kerajaan sebagai rangka kerja memulihara tanah lembap dan potensi alam semula jadinya. Justeru, Hari Tanah Lembap Sedunia disambut setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan memelihara dan memulihara kawasan tanah lembap.