LIFE NEWS AGENCY

Malaysia Edition

Penutupan institusi pendidikan di daerah Seremban dilanjutkan – KPM

3 November 2020 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan penutupan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM di daerah Seremban, Negeri Sembilan yang bermula pada 25 Oktober 2020 akan dilanjutkan sehingga 18 November 2020 menerusi satu kenyataan media yang diedarkan semalam.

Menurut KPM ia adalah selaras dengan pengumuman YB Menteri Kanan Pertahanan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan Zon Merah di daerah Seremban, Negeri Sembilan berkuatkuasa pada 5 November 2020 hingga 18 November 2020.

“Selaras dengan pengumuman PKPB tersebut, penutupan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM di daerah Seremban, Negeri Sembilan yang bermula pada 25 Oktober 2020 akan dilanjutkan sehingga 18 November 2020. Institusi pendidikan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah, kolej vokasional, institusi pendidikan guru serta sekolah swasta. Selain itu, penutupan ini juga melibatkan kesemua tadika yang berdaftar dengan KPM di daerah Seremban.

Senarai institusi pendidikan yang ditutup di daerah Seremban dilampirkan bersama-sama untuk rujukan ibu bapa, penjaga, warga sekolah dan institusi. Untuk makluman juga, senarai ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM.” kata KPM.

Tambah KPM, pihak Kementerian telah mengarahkan pentadbir sekolah serta institusi pendidikan untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Sehingga 3 November 2020 jam 12 tengah hari, terdapat 71 kes baru Positif COVID-19 dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan.Seremban pula sehingga semalam mencatatkan sebanyak 461 kes positif.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *