30 Jun 2020 – Jawatankuasa Pimpinan Nasional, Parti Amanah Negara (AMANAH) memutuskan bahawa pencalonan Dato’ Seri Shafie Afdal sebagai calon Perdana Menteri perlu diputuskan bersama di dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH, YB Khalid bin Abdul Samad menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini, pada petang ini Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan pencalonan Dato’ Seri Shafie Afdal sebagai calon Perdana Menteri seperti yang dicadangkan di dalam satu pertemuan tidak formal pemimpin-pemimpin dari AMANAH, DAP, WARISAN dan Tun Dr Mahathir baru-baru ini.
“Mesyuarat mengambil maklum bahawa cadangan ini adalah untuk mencari penyelesaian kepada usaha mencukupkan sokongan Ahli Parlimen bagi Pakatan Harapan membentuk semula kerajaan.
Setelah mengambil pandangan dari semua ahli-ahli mesyuarat, JKP Nasional AMANAH menganggap bahawa persoalan ini perlu diputuskan bersama di dalam Majlis Presiden PH demi menjamin kesepakatan dan kebersamaan dalam menangani persoalan ini.” kata Khalid.
Tambah beliau, mesyuarat tersebut juga menegaskan persoalan mengambil kembali kerajaan adalah sesuatu yang perlu diutamakan.
“Mesyuarat JKP Nasional dengan ini bersetuju untuk merujuk perbincangan berkaitan pencalonan Perdana Menteri kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam waktu terdekat untuk mendapat keputusan bersama.” ujar Khalid.
Pada Sabtu lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pengumuman bahawa beliau menyokong penuh cadangan AMANAH, parti Warisan Sabah (WARISAN) dan DAP, agar presiden WARISAN Dato’ Seri Shafie Afdal dipilih sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri bagi pihak pembangkang. Menurut beliau, keputusan tersebut dicapai sebulat suara dalam satu pertemuan dengan AMANAH, WARISAN dan DAP di Rumah Tetamu Sabah pada Khamis (25 Jun).
Leave a comment