PUTRAJAYA 19 Mei 2020 – RISDA mengumumkan pembayaran dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) RISDA 2019 berjumlah RM 42.7 juta kepada 31,436 orang pekebun kecil di seluruh negara pada tahun ini.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad sebanyak RM 12.8 juta daripada jumlah itu dibayar kepada 16,080 orang peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan RM 29.9 juta dibayar kepada 15,356 orang peserta Tanam Semula Komersial (TSK).
“Pembayaran dividen pada tahun ini meningkat sebanyak 3.5% berbanding tahun 2018 atas faktor harga buah tanda segar (BTS) yang lebih baik dalam tempoh bulan September hingga Disember 2019 iaitu purata RM 442/tan berbanding RM 365/tan pada tahun 2018.
“RTBB merupakan rancangan pembangunan tanah kepada tanaman getah bermula sejak tahun 1970an melibatkan keseluruhan kawasan seluas 19,306 hektar,” kata Abd Latiff menerusi satu kenyataan dari Putrajaya yang dikeluarkan semalam.
Menurut Abd Latiff, program ini bertujuan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang memiliki tanah kurang 2.83 hektar (7 ekar) di mana pekebun kecil yang diberi saham dalam rancangan tersebut mengikut kelayakan dan menikmati bayaran dividen setiap tahun.
“Manakala rancangan TSK adalah program tanam semula melalui penyatuan kebun-kebun kecil yang diuruskan oleh RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) dari peringkat pembangunan sehingga pengeluaran dan pemasaran hasil untuk keluasan sekurang-kurangnya 40 hektar atau lebih.
“Pembayaran ini secara tidak langsung meningkatkan keupayaan ekonomi kepada pekebun – pekebun kecil di waktu Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 dan di musim perayaan Aidil Fitri nanti,” kata Abd Latiff.
Menteri turut berkata, dalam pada itu, RISDA juga meneruskan pelbagai program pembangunan pekebun kecil bagi meningkatkan ekonomi mereka melibatkan jumlah sebanyak RM 521 juta untuk pekebun kecil seramai 550,000 orang.
Leave a comment