AMKenyataan MediaKesihatan @ My LNA

Kenyataan Akhbar KPK 4 Februari 2020 – Sempena Hari Kanser Sedunia

182

Kanser merupakan salah satu penyakit kronik yang kerap berlaku dan boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau bangsa. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa pada tahun 2018, kanser merupakan penyebab kematian kedua paling tertinggi di dunia iaitu kira-kira 1 daripada setiap 6 kematian yang berlaku adalah akibat kanser.

Sejak dua dekad yang lalu, kanser adalah salah satu dari lima penyebab utama kematian yang berlaku di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menyumbang sebanyak 11.82% pada tahun 2018. Pada tahun yang sama, kematian akibat kanser adalah kematian yang paling utama berlaku di fasiliti swasta (30.11%).

Menurut laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, secara keseluruhan tiga (3) jenis kanser yang paling kerap berlaku di negara ini adalah kanser payudara (19%), kanser kolorektal (13.5%) dan kanser paru-paru (9.8%). Dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku (16.9 %) dan dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (34.1%). Laporan ini juga menunjukkan peratus keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat (stage III dan IV) meningkat daripada 58.7% pada 2001-2011 kepada 63.7% pada 2012-2016. Ini adalah merupakan satu perkara yang membimbangkan dan perlu diatasi.

Pihak WHO menganggarkan 30-50 peratus kanser boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat. Kejadian kanser adalah dikaitkan dengan lima tingkah laku dan amalan berisiko iaitu; berat badan yang berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok serta pengambilan alkohol. Pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan bertanggungjawab kepada kira-kira 22% kematian akibat kanser.

Kanser boleh dikesan awal dengan melakukan ujian saringan. KKM menyediakan perkhidmatan saringan kanser payudara, kolorektal dan serviks di klinik-klinik kesihatan dan saringan kanser mulut di klinik-klinik pergigian di seluruh negara. Selain itu, mengenali gejala-gejala dan tanda-tanda awal kanser merupakan langkah yang sangat penting dalam membantu kanser tidak dikesan lewat. Pihak KKM menyeru agar orang ramai memahami kepentingan menjalani ujian saringan, mengenali tanda dan gejala awal kanser dan mendapatkan rawatan yang terbukti berkesan. Namun, memahami kepentingan-kepentingan tersebut perlu seiring dengan kesedaran untuk melakukannya supaya kanser tidak dikesan lewat dan peluang untuk sembuh sepenuhnya adalah lebih baik.

Pada 4 Februari setiap tahun, dunia menyambut Hari Kanser Sedunia dengan menjalankan pelbagai aktiviti kesedaran kanser. Tema yang dibawa pada tahun ini,   “I Am and I Will”, mengajak kita sebagai individu untuk sama-sama memainkan peranan dalam membendung beban kanser yang kian meningkat dan membantu mencegah atau mengurangkan kesan akibat kanser kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Mesej utama yang ingin KKM sampaikan sempena Hari Kanser Sedunia tahun ini ialah menyeru setiap rakyat Malaysia untuk memperkasa diri serta memainkan peranan dalam menangani  kanser dengan memilih untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, menjalani ujian saringan, mengenali tanda serta gejala awal kanser dan sekiranya dikesan mengidap kanser, memilih untuk tidak menangguhkan rawatan dan mengambil rawatan yang terbukti berkesan dan selamat seperti yang disarankan oleh pakar-pakar perubatan yang merawat.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
4 FEBRUARI 2020

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...