PUTRAJAYA 8 Januari 2020 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerima laporan penutupan sekolah-sekolah di Pulau Pinang, Selangor dan beberapa buah negeri lain apabila ada dalam kalangan muridnya disahkan positif influenza A.
Menurut KPM di dalam kenyataan media pada hari ini, pemantauan berterusan di sekolah-sekolah yang terlibat melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“KPM juga telah mengingatkan pihak sekolah supaya mematuhi sepenuhnya Standard Operating Procedure (SOP) Pengawalan Penularan Wabak Influenza A yang dikeluarkan oleh KPM. Operasi penutupan sekolah hanya akan dibuat setelah mendapat nasihat daripada pihak KKM.
Pihak sekolah diingatkan juga untuk memantau murid atau warga sekolah yang dijangkiti wabak ini dan sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan, mangsa perlu diasingkan, berhubung dengan ibu bapa untuk dihantar pulang bagi mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital. Pengetua dan Guru Besar hendaklah sentiasa mewujudkan kesedaran akan penyakit ini kepada semua warga sekolah dengan mengamalkan amalan kebersihan diri yang sempurna.” jelas KPM.
KPM juga berharap agar ibu bapa supaya peka terhadap kesihatan anak-anak dan tidak menghantar anak yang sakit ke sekolah. Tambah KPM, pihak mereka memberi jaminan akan mengambil tindakan yang tegas dan serius bagi memastikan kesihatan murid-murid dan warga sekolah sentiasa terjamin.
Leave a comment