PUTRAJAYA 21 Disember 2019 – Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersedia membantu dan bekerjasama dengan Malaysian Trade Union Congress (MTUC) di dalam menyelesaikan masalah organisasi tersebut dengan pihak Kementerian Dalam egeri (KDN) dan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, KSM memandang serius isu penggantungan MTUC oleh pihak ROS baru-baru ini dan bersedia menjadi orang tengah di antara MTUC dan KDN dan ROS terutamanya dalam melindungi hak dan kepentingan setengah juta pekerja yang dianggarkan diwakili oleh kesatuan sekerja tersebut.
“MTUC sebagai badan payung utama bagi kesatuan sekerja di Malaysia mempunyai peranan utama dalam sejarah kesatuan sekerja yang menjaga hak dan kebajikan pekerja-pekerja sebagai pembela nasib pekerja di Malaysia.
Sebarang keputusan penggantungan MTUC yang berpanjangan akan memberi kesan kepada pekerja yang bergantung kepada badan ini sebagai pembela utama MTUC selama ini dalam banyak perkara yang berkaitan hak dan kebajikan mereka” kata KSM di kenyataan tersebut.
Tambah KSM, mereka sentiasa membuka pintu dan mengalu-alukan sebarang bantuan kepada MTUC sekiranya diminta bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berkaitan isu ini.
Pada 18 Disember yang lepas, pihak ROS telah memberi notis penggantungan kepada MTUC setelah menerima aduan dari pihak pengurusan MTUC pada 2 Julai. Menurut ROS aduan dibuat berkenaan pengurusan yang tidak lancar dan penggantungan dibuat untuk mencegah MTUC dari berterusan melanggar peraturan yang sedia ada.
Leave a comment