AM

MERDEKA, HIJRAH DAN TOKOH MAAL HIJRAH

550

Hujung minggu baru-baru ini cukup istimewa bagi kita semua sebab kita menyambut hari kebangsaan dan esoknya kita menyambut tahun baru kalendar Hijri Islam.

Saya hadir di kedua-dua hari penting ini dan untuk program sambutan Maal Hijrah, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Hal Ehwal Islam menjadi tuan rumah. Saya tidak tahu orang lain, tapi kedua-duanya saya anggap sebagai program untuk seluruh rakyat Malaysia kerana Hari Kebangsaan adalah hari untuk kita semua manakala Maal Hijrah adalah simbolik kepada negara kerana Islam adalah agama Persekutuan.

Tema yang menguasai kedua-dua majlis kebangsaan ini berkisar tentang sikap kepunyaan bersama yang perlu ada pada nilai dan penghayatan cintakan negara. ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ demikianlah tema yang cukup bermakna untuk kita semua. Maal Hijrah pula menampilkan ‘Negara Rahmah, Ummah Sejahtera’. Ia tema menuju sebuah masyarakat dan negara penuh Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat-menghormati sesama kita (R.A.H.M.A.H).

Kedua-dua tema besar ini melatari satu suasana ketika negara diheret pada satu sudut kebencian dan permusuhan manakala satu sudut pula diheret kepada sikap bimbang tidak berasas kepada apa sahaja jenama Melayu dan Islam. Keduanya sering bertembung antara satu sama lain dan membanjiri naratif masyarakat dengan cetusan-cetusan peristiwa, keputusan mahupun kenyataan yang dimuat naik lewat media sosial.

Orang politik dan parti politik tidak banyak membantu meredakan keadaan malah sesetengah segmen politik kepartian melihat ia satu peluang membantu agenda sempit mereka. Saya yakin hasrat dan kehendak parti-parti oportunis ini tidak mewakili aspirasi Malaysia Baharu kerana sebagai parti yang beroperasi di Malaysia dan mendambakan ambil alih pimpinan negara, tidak mungkin menyokong naratif yang merosakkan negara. Tetapi parti-parti ini nampaknya hanya menangguk di air keruh bermain sentimen dan emosi. Mereka bercakap tentang perpaduan ummah manakala di hujung sana pula bercakap tentang Islamofobia dengan alasan yang tidak masuk akal. Kedua kelompok ini semakin mengheret rakyat Malaysia membuat keputusan yang amat sukar! Media pula tidak banyak membantu meredakan keadaan.

Kedua-dua majlis bersifat kebangsaan ini tiba pada persimpangan yang kritikal. Tema dan segala yang mewarnai program menginginkan membawa satu mesej sahaja iaitu Malaysia memilih jalan harmoni dan kedamaian dengan kembali kepada asas terbinanya negara ini. Asas-asas ini ialah Malaysia yang Demokratik, Bersatu dan Toleran.

Negara Rahmah pula adalah hasrat menjawab kebimbangan tidak berasas terhadap kedudukan Islam dan penghayatannya. Maka tema Hijrah mengajak seluruh rakyat Malaysia memahami Islam dalam bentuk sebenarnya bukan Islam yang ‘keras’ dan ‘kasar’ (Fazz dan Ghaliz) jauh sekali yang mengisyaratkan kekerasan. Lahirlah program merakyatkan Rahmatan Lil Alamin dengan kehendak al-Quran dan Sunnah.

Pemilihan tokoh Maal Hijrah tidak lari dari hasrat mempraktikkan apa yang kita usahakan sebagai sebuah kerajaan baru. Tokoh Kebangsaan melambangkan betapa inklusifnya Islam dengan menobatkan aktivis, pejuang dan pakar dalam bidang memelihara alam sekitar secara khusus konsumsi air yang mampan. Prof. Ir. Datuk Seri Dr. Zaini Ujang adalah nama besar dunia dalam perjuangan memelihara alam. Pentadbiran Islam dalam slogan R.A.H.M.A.H menetapkan ‘A’ kedua itu mewakili nilai ALAMI dalam perlaksanaan aktivitinya. Semoga tokoh kita menjadi Duta Besar ALAMI insyaallah.

Pemilihan Tokoh Antarabangsa pula membawa mesej Rahmatan Lil Alamin yang kita usahakan sejak Julai 2018. Sosok tubuh ini terkenal sebagai Duta Antarabangsa Kedamaian. Mesej SALAM yang dibawanya menjadikan beliau salah seorang tokoh yang dihormati seluruh dunia. Beliau pernah menulis risalah ringkas ‘Keganasan Bukan Jalan Ke Syurga’. Syeikh Abdullah Ben Bayyah adalah nama yang mewakili hidup bersama dalam kedamaian dan pendekatannya sinonim dengan mesej Nabi Muhammad s.a.w yang melimpahi Rahmah dan Keamanan. Semoga jambatan antarabangsa yang terbina dengan tokoh keamanan ini memperkukuhkan Dasar Negara Rahmah yang kami usahakan.

Sebahagian rakyat Malaysia menikmati hari cuti Isnin 2 September. Saya menarik nafas lega buat sementara untuk cuti Isnin 2 September dengan semangat untuk kembali esoknya demi meneruskan misi Malaysia Baharu dengan inspirasi memakmurkan Malaysia yang Aman dan Sejahtera. Selamat Tahun Baru Hijrah!

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Menteri di JPM (Agama)

2 Muharam 1441H
2 Sept 2019

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah StevieĀ® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...