LIFE NEWS AGENCY

Malaysia Edition

PELAKSANAAN SKIM KUMPULAN WANG AMANAH KONTRAKTOR (SKWAK) DAN PEMBUKAAN SEMULA PENDAFTARAN KONTRAKTOR KERJA KELAS G1 BUMIPUTERA

Putrajaya, 1 September 2019 – Bermula 1 September 2019, pengurusan dana Skim
Kumpulan Wang Amanah Kontraktor (SKWAK) dipindahkan sepenuhnya dari
Kementerian Kerja Raya (KKR) ke Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU), Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).

Dana SKWAK bertujuan membantu para kontraktor Bumiputera gred G1 sehingga G5 mendapatkan modal bagi memulakan (take off) sesuatu projek. Bantuan SKWAK yang diberikan adalah wang pendahuluan berbentuk pinjaman tanpa sebarang faedah dikenakan kepada kontraktor Bumiputera yang mendapat kerja kontrak Persekutuan.


Jumlah pendahuluan ditentukan berdasarkan merit tiap-tiap satu kes tertakluk kepada jumlah maksimum 25% nilai kerja pembina (builder’s work).
Permohonan SKWAK boleh dikemukakan di semua pejabat cawangan BPKU Negeri, dan pembayaran akan dilaksanakan oleh Ibu Pejabat BPKU setelah permohonan diluluskan.

Bagi kontraktor gred G1, kaedah bayaran balik pinjaman secara sekali gus akan
dilaksanakan mengikut tempoh kerja yang disiapkan. Manakala bagi kontraktor gred G2 sehingga G5, kaedah potongan bayaran adalah melalui bayaran interim.

Pemotongan bayaran interim tersebut akan bermula setelah kerja fizikal mencapai kemajuan 25%, dan pinjaman hendaklah diselesaikan sepenuhnya setelah kerja fizikal mencapai kemajuan
75%.

Semua kontraktor Bumiputera yang berdaftar dengan CIDB dan memiliki Sijil Taraf Bumiputera yang masih aktif adalah layak memohon wang pendahuluan SKWAK. Bagi memastikan kontraktor Bumiputera diberikan faedah optimum melalui inisiatif SKWAK ini, modal dan tenaga pengurusan syarikat mereka hendaklah 100% dimiliki dan dikuasai
oleh Bumiputera. Kontraktor Bumiputera yang memenuhi syarat-syarat kelayakan boleh mengemukakan permohonan mereka kepada pejabat-pejabat BPKU Negeri di seluruh negara.

MED akan memastikan dana SKWAK dapat memberikan manfaat maksimum kepada
semua kontraktor Bumiputera yang layak memohon termasuk G1 baharu yang
memohon. Melalui skim ini juga, Kerajaan berhasrat untuk mendukung agenda
pemerkasaan ekonomi Bumiputera di dalam industri pembinaan seterusnya melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera yang mampu bersaing di peringkat nasional.

Pembukaan Semula Pendaftaran Kontraktor Kerja Kelas G1 Bumiputera


MED juga akan mendukung keputusan Kerajaan untuk membuka semula pendaftaran kontraktor kelas G1 Bumiputera bermula 1 September 2019 setelah hampir 14 tahun ianya dibekukan.

Pembukaan semula pendaftaran ini akan menyokong sepenuhnya Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang telah dilancarkan oleh MED
dengan matlamat untuk mencapai aspirasi “kemakmuran bersama” dan menjadikan
Malaysia sebagai sebuah Negara yang terus membangun secara mapan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil.

Pembukaan semula pendaftaran ini juga selari dengan Teras Strategik tiga (3) di dalam DKN2030 iaitu merangsang pembangunan keusahawanan bersepadu dan holistik dengan objektif melahirkan para usahawan yang berkualiti, berdaya maju dan kompetitif.

MED akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan kerana industri binaan Negara merentasi pelbagai Kementerian dan agensi lain dalam Kerajaan. MED melalui BPKU juga akan bertanggungjawab dalam memberikan kelulusan taraf Bumiputera dan menyeru kepada rakyat dalam semua lapisan masyarakat terutamanya golongan belia Bumiputera yang ingin menjadi usahawan industri binaan untuk mengambil peluang ini
dalam merancakkan lagi industri binaan negara. Golongan B40 yang mempunyai
pengalaman dan kemahiran asas dalam bidang binaan juga di alu-alukan untuk
mendaftar sebagai kontraktor kelas G1 Bumiputera ini bagi menaikkan taraf ekonomi di samping menyumbang bakti dan tenaga dalam melaksanakan kerja-kerja yang bakal ditawarkan oleh pihak Kerajaan. Dengan penglibatan usahawan-usahawan baru, pembangunan kontraktor kelas G1 Bumiputera dapat dilaksanakan bersandarkan kepada nilai keusahawanan yang tinggi dan berinovasi.

MED akan mengambil pendekatan sebagai pemudah cara kepada syarikat yang memohon dan telah menepati kriteria-kriteria yang digariskan oleh pihak Kerajaan. Di samping itu, MED melalui BPKU dan juga agensi lain di bawahnya akan memberikan khidmat dalam aspek latihan dan pembelajaran berterusan untuk meningkatkan keupayaan dan ilmu pengetahuan dalam industri binaan dan pada masa yang sama membudayakan keusahawanan di kalangan Bumiputera.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *