LIFE NEWS AGENCY

Malaysia Edition

HARI KETIGA MUN2019 – MED KONSISTEN MEMBANTU USAHAWAN PKS DENGAN PLATFORM MUN2019

Serdang, 31 Ogos 2019 – Hari ketiga Minggu Usahawan Nasional (MUN2019) menampilkan industri halal, penternakan daging arnab, jualan harga patut koperasi, industri fesyen serta Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Nasional sebagai tumpuan utama. Sehingga kini MUN2019 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dengan kunjungan hampir 45,000 orang ramai serta para usahawan (setakat Sabtu jam 5 petang).  

Bagi menterjemahkan komitmen MED dalam industri halal, beberapa siri Pocket Talks dan Halal Lab dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation (HDC), Jabatan Standard Malaysia dan Institusi Pengajian Tinggi Tempatan. Bagi membudayakan keusahawanan bidang halal, Halal Xplorace dan HALALopoly dilaksanakan dengan penyertaan seramai 150 orang pelajar (IPT dan sekolah). MED turut berkolaborasi bersama Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi program Siswapreneur yang bertujuan melahirkan usahawan dalam kalangan pelajar dan lulusan IPT dalam pelbagai bidang perniagaan seperti peruncitan, pertanian, agrikultur, teknologi kejuruteraan, teknologi komunikasi dan maklumat, industri kreatif dan multimedia, sukan dan sebagainya.

Penyanyi , komposer dam aktivis terkenal tanahair Faizal Tahir di sesi Jom Rojak Bersama Faizal Tahir. Sumber foto : Facebook Rasmi MED

Selain itu, siri Pocket Talks keusahawanan turut menyaksikan selebriti terkenal tanah air seperti Faizal Tahir menerusi sesi Jom Rojak Bersama Faizal Tahir dan Dato’ Fazley Yaacob dalam demo masakan halal.  Dalam masa yang sama, Institut Koperasi Malaysia, agensi di bawah MED turut membuka ruang dan peluang kepada para usahawan dalam bidang penternakan arnab bagi produk hiliran seperti burger dan satay daging arnab. Turut diadakan pertandingan memasak berasaskan daging arnab yang dimeriahkan dengan penampilan istimewa Chef Dato’ Ismail Ahmad. 

MUN yang julung kalinya diadakan ini telah mencatat potensi jualan sebanyak RM24.67juta dengan 245 sesi padanan perniagaan (setakat 2.30pm 31/8/2019) melalui SDSI Nasional selama 3 hari tersebut. Keseluruhan jumlah tunai terkumpul selama 3 hari MUN 2019 adalah sebanyak hampir RM 1 juta.

Bazar Jualan Harga Patut Koperasi yang diterajui oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang merupakan agensi di bawah MED telah diuruskan oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF) telah mendapat RM6,700.00 jualan tunai melalui penjualan barangan harian dan dapur dengan harga 10-15% lebih murah dari harga biasa di pasaran. Bazar yang disertai oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bersama 43 koperasi ini memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan harga yang terbaik sempena bulan Kemerdekaan dan sekali gus membantu untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.  

Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan. Turut hadir Yang Berhormat Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Ramli, Timbalan Menteri MED, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Setiausaha MED serta pegawai-pegawai kanan Kementerian dan agensi. 

Selain program SDSI yang menyaksikan 14 negeri seluruh Negara menawarkan produk, perkhidmatan dan makanan, Pameran Keusahawanan oleh 180 pempamer pelbagai sektor, Bazar Selebriti dan Konsert Merdeka MUN 2019 oleh artis-artis terkenal tanahair seperti Hael Hussaini, Ernie Zakri, Fieya Julia dan Luqman Faiz.

Sila layari www.med.gov.my/mun2019 untuk maklumat lanjut.

Kementerian Pembangunan Usahawan

31 Ogos 2019

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *