LIFE NEWS AGENCY

Malaysia Edition

HARI KEDUA MUN2019 MEMBERI IMPAK POSITIF KEPADA USAHAWAN PELBAGAI SEGMEN – MED

Serdang, 30 Ogos 2019 – Minggu Usahawan Nasional 2019 (MUN2019) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan pada hari ini telah menobatkan Anugerah Ikon Usahawan Wanita 2019 bersempena Konvensyen Usahawan Wanita. Lima Ikon usahawan wanita berprestasi cemerlang dalam kategori Ikon Usahawan Muda, Ikon Usahawan Halal, Ikon Usahawan Digital, Ikon Usahawan Mikro dan Ikon Usahawan Berprestasi Tinggi telah dipilih berdasarkan penilaian kewangan dan bukan kewangan seperti pengurusan operasi, strategi perniagaan, kreativiti, inovasi, penggunaan ICT dan pembangunan sumber manusia.  

Anugerah Ikon Usahawan Wanita 2019 ini diwujudkan bagi memberi pengiktirafan kepada usahawan wanita yang cemerlang dan meningkatkan motivasi dalam menghadapi cabaran dalam persaingan di pasaran domestik, serantau dan antarabangsa.  Anugerah ini diumumkan oleh YB Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan.

Inisiatif penganugerahan ini merupakan antara agenda utama dalam pembangunan ekonomi negara kerana 20.6 peratus (186,855) daripada 907,065 jumlah keseluruhan pertubuhan perniagaan yang berdaftar di Malaysia adalah milikan wanita. Konvensyen yang bertemakan “Women Thinking Big” ini berlangsung selama dua hari mulai 29 Ogos 2019 hingga 30 Ogos 2019 di Hall D2, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor anjuran SME Corp Malaysia. 

Turut berlangsung Sesi Industri Champion bersama YBhg Tun Daim Zainuddin turut diadakan pada sesi pagi anjuran MaGIC. Sesi tersebut telah dihadiri oleh seramai 50 orang ketua-ketua industri daripada pelbagai sektor seperti pengilangan, pembuatan, pertanian, Start-up, PKS termasuk perusahaan sosial. Di sesi tersebut YBhg. Tun telah berkongsi pandangan berhubung keperluan pewujudan ekosistem yang baik bagi menggalakan perniagaan dan keusahawanan dilaksanakan. Tun juga mendorong lebih ramai pihak swasta tampil untuk membuka peluang keusahawanan dan perniagaan dengan menyuntik elemen Industrial Revolution 4.0 (I.R 4.0). Tun turut mengadakan lawatan ke pavilion SDSI.

Dalam masa yang sama, turut berlangsung adalah Majlis Graduasi program INSKEN Business Coaching (IBC) tahun 2019 anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), sebuah agensi pembangunan keusahawanan di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan (MED). Program ini telah menyaksikan penyampaian sijil graduasi kepada 118 orang usahawan daripada empat industri iaitu, Postnatal Care, Spa, Laundry dan Strategi Peruncitan Berkesan kerana telah berjaya menjalani latihan “one-to-one” secara komprehensif selama 4 bulan bermula April 2019 hingga Ogos 2019. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Timbalan Menteri MED, Datuk Wira Dr Hatta Ramli.

Pada malam pula orang ramai akan dihiburkan dengan Konsert Merdeka MUN 2019 oleh artis-artis terkenal tanahair. Konsert bertemakan patriotisme menjelang sambutan hari kebangsaan tersebut merupakan antara acara yang dinanti-nantikan oleh orang ramai. Konsert ini turut dihadiri oleh YB Menteri MED dan pegawai-pegawai kanan Kementerian dan agensi. 

Turut diadakan adalah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Nasional yang menyaksikan 14 negeri seluruh Negara menawarkan produk, perkhidmatan dan makanan, Pameran Keusahawanan oleh 180 pempamer pelbagai sektor, bazar jualan harga patut di Dunia Koperasi, Bazar Selebriti dan pelbagai siri pocket talk keusahawanan.

Sila layari www.med.gov.my/mun2019 untuk maklumat lanjut.

Kementerian Pembangunan Usahawan

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *