Hulu Langat 19 Ogos 2019 – Selaras dengan komitmen bagi mencapai penjimatan penggunaan tenaga sebanyak 8% menjelang tahun 2025, Kerajaan telah memperuntukkan pemasangan 10,000 buah lampu jimat tenaga jenis LED (light emitting diode) bermula dari tahun ini dan tahun hadapan melalui inisiatif Incentive Based Regulation (IBR).
Lampu jenis LED tersebut akan dipasang secara berperingkat melalui syarikat utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB) di jalan-jalan kampung di bawah Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di mana di bawah program ini Lampu Jalan Kampung (LJK) sedia ada jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV) akan digantikan dengan lampu LED.
Menurut KPLB di dalam kenyataan akhbar pada hari ini, skop projek bagi program ini adalah membekal dan memasang set lampu di tiang sedia, di kawasan-kawasan umum serta di hadapan bangunan awam seperti balai raya, surau, rumah ibadat serta di persimpangan-persimpangan jalan
“Penggunaan lampu jenis LED yang lebih terang dan cerah ini juga diharap dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan rakyat yang menggunakan jalan-jalan kampung khususnya dari aspek mengurangkan kadar jenayah dan kemalangan jalan raya, selain dapat membantu menjana aktiviti ekonomi komuniti kampung.
Pencahayaan yang baik adalah amat penting bagi menjamin kesejahteraan penduduk setempat selain dapat meningkatkan produktiviti terutamanya bagi gerai-gerai serta perniagaan kecil yang beroperasi sehingga waktu malam.” jelas KPLB lagi.
Penggunaan lampu LED ini juga di[ercayai dapat menjimatkan penggunaan elektrik selaras dengan komitment Kerajaan untuk menjimatkan sebanyak 8% penggunaan elektrik negara.
Leave a comment