PUTRAJAYA 21 Julai 2019 – Menteri Pendidikan Malaysia YB Dr. Maszlee Malik akan mempengerusikan Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) kali ke-50 di Kuala Lumpur bermula 22 hingga 25 Julai bertempat di Sunway Resort Hotel & Spa, Bandar Sunway.
Persidangan ini akan dihadiri oleh Menteri-menteri Pendidikan, pegawai tinggi kerajaan dan wakil rasmi dari kesemua 11 buah negara anggota SEAMEO, negara anggota bersekutu, ahli gabungan, Pusat SEAMEO Serantau dan rakan strategik.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, SEAMEO akan mengetengahkan isu perubahan landskap pendidikan bagi menyokong pembangunan dari sudut ekonomi dan sosial. SEAMEQ juga akan menawarkan forum terbuka bagi membincangkan hala tuju strategik berdasarkan Tujuh Bidang Keutamaan SEAMEO yang selari dengan perspektif dan isu komuniti pendidikan antarabangsa khususnya di rantau Asia Tenggara.
” Persidangan ini juga menyasarkan kerjasama yang lebih erat dalam bidang pendidikan dalam kalangan negara Asia Tenggara dan selainnya. Para menteri pendidikan pula dijangka akan memberikan pandangan dalam menetapkan keutamaan untuk SEAMEO pasca 2020 melalui Pelan Strategik SEAMEO 2021-2030. SEAMEO yang ditubuhkan pada November 1965 merupakan pertubuhan yang berperanan dalam mempromosi kerjasama bidang pendidikan, sains dan kebudayaan di rantau Asia Tenggara. Negara anggotanya terdiri dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam. ” jelas Kementerian.
Jelas KPM lagi, sejak penubuhan SEAMEO , para Menteri Pendidikan akan bermesyuarat secara tahunan untuk mengambil perhatian terhadap pencapaian 26 buah pusat serantau SEAMEO di segenap pelosok Asia Tenggara meliputi laporan kewangan dan pelaksanaan aktiviti semasa serta mengesahkan perancangan aktiviti masa hadapan.
Leave a comment